Wednesday, June 29, 2011

Muffin Pisang Coklat

Bahan-bahan
Bahan A [Ayakkan]
2 cawan tepung gandum
2 s/b serbuk koko
1 s/k soda bikarbonat
1 s/k baking powder
Sedikir garam

Bahan B
1 cawan pisang emas/berangan lecek
1 cawan minyak
11/2 cawan gula perang
2 biji telur [pukul sedikit ngan garfu]

Cara Memasak
1. Ayakkan bahan A dan masukkan dalam mangkuk.
2. Masukkan bahan B dan kacau rata.
3. Masukkan dalam acuan kecil atau loyang.
4. Bakar pada suhu 180 darjah celcius selama lebih kurang 30 minit atau sehingga masak.

Monday, June 27, 2011

Serimuka Pisang

by : hasiah@my.resipi

Bahan-bahan

LAPISAN BAWAH:-
1 cawan tepung beras
2 cawan santan
2 cawan pisang yang dilenyek
1/2 cawan gula
2 sudu tepung kastard

LAPISAN ATAS:-
60 gm tepung gandum
100 gm gula
250 gm santan
50 gm jus pandan
1/2 sudu besar tepung jagung
2 biji telur
Sedikit garam
Sedikit pewarna hijau

Cara-cara
LAPISAN BAWAH - Satukan semua bahan di atas, kacau sebati.
Kukus selama 20minit atau hingga masak.

LAPISAN ATAS - Kacau telur bersama gula, kemudian masukkan pula bahan-bahan selebihnya.
Kacau sebati, tapiskan.
Tuang ke atas bahagian bawah tadi, kukus lagi selama 20minit atau hingga masak.
Untuk bahagian bawah, masukkan sedikit pewarna kuning agar tidak kelihatan pucat.

Saturday, June 25, 2011

Nasi Ayam Hainan

Bahan-bahan semua main agak-agak saja sebab resipi asal tak de. dan biasanya saya masak ikut apa yang saya ingat dan sukatan pulak main agak2 sahaja.


Bahan untuk sup ayam :-
- Beberapa ketul bahagian ayam yang bertulang (direbus untuk dapatkan stok ayam, untuk masak nasi)
- Beberapa biji bawang besar yang dihiris
- Beberapa biji bawang putih yang dihiris
- Sedikit halia yang dihiris
- Sup Bunjut atau Sup Tulang atau Rempah Sup (terpulang)
- Garam secukup rasa
- Minyak untuk menumis

Cara memasak sup ayam :-
- Asingkan separuh daripada air rebusan tulang untuk dimasak bersama nasi
- Tumis bahan-bahan yang telah dihiris sehingga bawang kekuningan, masukkan sup bunjut atau rempah sup dan kacau sehingga naik bau
- Masukkan air , ketulan tulang dan separuh daripada stok ayam baki dari yang telah diasingkan untuk nasi ayam
- Masukkan garam secukup rasa
- Renehkan sup sehingga masak
(boleh juga tambah sedikit kunyit untuk memberikan warna yang menarik pada sup)


Bahan-bahan untuk nasi :-
- Beberapa biji bawang merah, beberapa ulas bawang putih dan sedikit halia, dimesin halus bersama
- Sehelai daun pandan
- Sedikit mentega/marjerin
- Beras
- Sedikit sos tiram
- Sedikit minyak bijan (optional jika suka)
- Sedikit lada putih (optional jika suka)
- Air rebusan tulang ayam (stok ayam)

Cara masak nasi :-
- Panaskan mentega dalam periuk nasi sehingga cair, masukkan semua bahan yang dimesin halus, kacau sehingga naik bau.
- Masukkan beras yang telah dicuci dan ditoskan.
- Kacau-kacau sehingga semua bahan yang telah dimesin dan ditumis bercampur sebati dengan beras.
- Masukkan sedikit sos tiram, minyak bijan, lada putih dan daun pandan.
- Masukkan air rebusan ayam/stok ayam dan air biasa cukupkan 1 inci lebih dari paras beras
- Kacau-kacau nasi sehingga nasi masak.


Bahan untuk Ayam :-
- Beberapa potongan ayam
- Beberapa biji bawang merah dan bawang putih yang diblender halus.
- Sedikit minyak bijan
- Sedikit Sos Tiram
- Sedikit Kicap Manis
- Sedikit Madu (saya suka gunakan madu amazing keluaran syarikat kesayangan saya De Classic Life atau DCL)
- Minyak untuk digoreng

Cara memerap :-
- Basuh beberapa potongan ayam dan toskan
- Masukkan bahan yang dimesin, sedikit minyak bijan, sedikit sos tiram, sedikit kicap manis, sedikit madu
- Gaulkan ayam dan bahan-bahan tersebut sehingga rata dan sebati
- Biarkan beberapa minit sebelum digoreng
- Panaskan minyak dan goreng ayam yang telah diperap sehingga nampak warna perang keemasan atau kecoklatan.

Bahan Sos Cili :-
- Beberapa tangkai cili kering
- Beberapa ulas bawang putih
- Sedikit sos cili
- Sedikit gula
- Sedikit air panas

Cara menyediakan sos cili :-
- Goreng cili kering tanpa minyak
- tumbuk atau blender cili kering tadi bersama bawang putih sehingga lumat
- Campurkan bahan yang telah diblender bersama sedikit sos cili, gula dan air panas

Kuah kicap biasanya saya tak sediakan sebab tak de yang berminat.

Makan bersama sayur salad dan timun.

Tuesday, June 21, 2011

Sambal Tumis Sotong

dayang_jack@myresipi.com

Bahan-bahan ( 3-4 orang )
  • 5 ekor sotong XL (dibersihkan dan dipotong - tak nak potong pun ok)
  • 1/2 labu bawang besar *
  • 3 ulas bawang putih *
  • 2 biji bawang merah *
  • 4 sb cili kering kisar
  • 1/2 inci belacan bakar *
  • 2 sudu makan sos cili
  • 2 sudu makan jus limau kasturi/air asam jawa
  • 1 sudu makan sos tiram
  • 1/2 labu bawang besar (dimayang)
  • sedikit hirisan daun ketumbar - jika suka
  • garam dan gula - jika perlu
Cara-cara
  1. Rebus sotong separuh masak dan tuskan.
  2. Kisar bahan2 bertanda *.
  3. Panaskan sedikit minyak di dlm kuali.Tumis bahan2 kisar dan cili kering hingga wangi dan pecah minyak.
  4. Masukkan sos tiram, sos cili, garam, gula dan sedikit air. Kacau rata2.
  5. Masukkan sotong, daun ketumbar, bawang besar dan jus limau kasturi/air asam jawa. Gaulkan sebati. 
  6. Setelah masak, hidangkan.  nak pedas lagi boleh tambah cili padi.

Monday, June 20, 2011

Chocolate Cheesecake

Diubahsuai dari resipi Plain Cheesecake dan Baked Chocolate Cheesecake.


Bahan-bahan :-

250g cream cheese
200cc/ml fresh cream/plain yogurt (saya guna fresh cream)
2 sudu besar jus lemon
3 sudu besar tepung gandum
2 biji telur
90g gula
2 sudu teh chocolate paste @ chocolate emulco (saya gunakan chocolate emulco)
1 sudu teh esen vanila
3 sudu besar @ 30gm coklat hitam/dark coklat dicairkan (saya gunakan coklat masakan, dicairkan dalam microwave suhu paling tinggi sehingga cair)
1/2 sudu teh cream of tartar - optional (saya tak guna pun)

Cara Penyediaan :-

1. Panaskan oven 170 degree. Sapukan loyang dgn butter atau alas dgn kertas minyak pun ok(oven paper)
2. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam mixer atau blender. Mix biar sampai jadi cream.
3. Masukkan dark coklat/coklat masakan yang telah dicairkan, esen vanila dan chocolate paste/chocolate emulco
4. Masukkan ke dalam loyang, dan bakar selama 50 minit secara baim marie/water bath/steam bake (letak loyang dalam loyang yang lebih besar berisi air panas. tak perlu banyak sangat air supaya tiada air yang akan masuk ke loyang kek. 5 minit terakhir, rotatekan loyang kek untuk dapat permukaan atas yang terbakar rata)
5. Keluarkan dari oven dan sejukkan dalam loyang atas redai, sebelum dikeluarkan dari loyang dan dibiarkan pada suhu bilik.
6. Bila dah sejuk, simpan dalam peti ais semalaman untuk mendapatkan rasa cheese cake yang sedap.

Hiasan :- (saya tak hiaspun sebab malas..hehehe)
chocolate chips atau ganache (sapuan nipis)
ganache - 1/8 cawan fresh cream + 20gm dark chocolate yang dicincang dan dicairkan secara double-boiler

TIP:
***Cheesecake jenis ni tak perlu dicucuk dengan lidi untuk test dah masak ke belum. Cukup sekadar tengok permukaan atas agak kering (tapi jangan sampai merekah). Kalau cucuk pun confirm basah sebab jenis cheesecake ni guna sedikit je tepung.

***Jangan sejukkan cheesecake secara mendadak (cth: pasang kipas, terus keluarkan dari loyang tanpa didiamkan dahulu dalam loyang, dibiarkan sejuk dalam keadaan yang jauh lebih sejuk dari suhu oven dll.). Nanti permukaan kek akan merekah dan kecut secara mendadak.

Perihal YIS/YEAST

Yis (Yeast/Ragi/Ibu Roti)

Apa itu yis?
Secara ringkasnya, yis adalah sejenis kulat yang digunakan sebagai bahan penaik (leavening agent) dalam menghasilkan roti. Tanpa yis, roti yang dihasilkan akan kelihatan meleper dan keras. Ia juga digunakan untuk membuat minuman beralkohol. Yis membiak dengan cepat. Ia boleh menukarkan gula menjadi alkohol. Ia terlalu kecil dan hanya boleh dilihat melalui mikroskop. 

Selain itu, yis juga dikenali sebagai ragi atau ibu roti (nama lama).


Cara yis berfungsi
Yis aktif ketika bercampur dengan gula dan air suam (bukan air panas), di mana ia akan menukarkan gula dalam doh kepada gas karbon dioksida, lalu mewujudkan poket-poket atau ruang udara di dalam doh. Apabila doh tersebut masak, yis yang ada di dalamnya akan mati. Poket-poket atau ruang udara yang terbentuk ketika proses fermentasi tadi akan kekal, lalu memberikan tekstur yang lembut dan 'spongy' pada roti tersebut. 


Jenis-jenis yis: yis basah (segar) dan yis kering (instant/segera)
Terdapat beberapa jenis yis di pasaran, biasa yang dijumpai adalah Mauripan dan SAF Instant Ragi (Dry Baker's Yeast). Yis-yis ini boleh segera digunakan tanpa perlu direndamkan dalam air suam dan gula terlebih dahulu. Manakala yis basah (segar/fresh) perlu dicampur dengan air suam bergula dan biar selama 10-15 minit supaya ia kembang atau berbuih sebelum digunakan. 

Jumlah yis segera/kering selalunya digunakan separuh dari jumlah yis segar. Bererti, jika 20 gm yis segar diperlukan, boleh diganti dengan 10 gm yis segera. Cara menggunakannya juga berbeza kerana yis segera boleh dicampur terus ke dalam tepung manakala yis segar perlu di’naikkan’ dulu dengan mencampur bersama air suam bergula. 

20 g yis basah/segar/fresh = 10g yis kering/segera/instant


Terlalu lebih atau kurang yis serta kesan garam
Yis yang berlebihan akan membuat doh terlalu kembang kemudian kempis semula (bentuknya tidak dapat bertahan) kerana sukatan yis tidak setimpal/sepadan dengan gluten di dalam tepung. Ia juga menyumbangkan rasa dan aroma yang terlalu 'beryis' dan tekstur roti yang poros dan terlalu berderai. Terlalu sedikit yis menghasilkan doh yang padat, berat dan kurang naik. Pastikan anda tidak memasukkan yis dan garam bersama kerana garam menghalang perkembangan yis. 

Bagaimana pun, sedikit garam dapat mengawal yis dari terlalu cepat naik lebih-lebih lagi pada hari yang panas, selain dari menyumbang rasa, memberi 'crust' yang lebih stabil, dan juga tekstur 'crumb' yang lebih halus (finer crumb) kepada roti. 


Contoh yis dalam pasaran di Malaysia


Contoh yis segera/kering/instant- (Picture courtesy of Google)

Contoh yis segar/basah/fresh (picture courtesy of Google)


Suhu bagi yis
Suhu pengaktifan ideal yis adalah sekitar 27C - 46C, namun bagi tujuan pemerapan suhu yang sesuai adalah antara 27C - 35C. Pada suhu yang lebih tinggi, poket-poket atau ruang udara yang lebih besar akan terbentuk, memberikan lohong-lohong yang besar di dalam roti dan menjadikan roti tersebut kelihatan kasar dan kurang lembut. Yis pula akan mula mati pada suhu lebih dari 50C. Oleh itu, gunakan cecair (susu, air dll.) yang bersuhu suam ketika menguli doh, bukannya air panas. Untuk tujuan pemerapan, letakkan doh yang telah siap diuli di tempat yang hangat dan tutup doh dengan tuala lembab. Doh akan mengembang 2x ganda dari saiz asal dalam masa lebih kurang 1 jam, dan mengambil masa yang lebih lama jika diperap dalam peti sejuk semalaman. 

Tuala lembab ini dapat mengelakkan suhu di dalam mangkuk berisi doh dari berubah dengan ketara. Ertinya, jika doh sedang mengembang, ia akan kekal mengembang tanpa gangguan perubahan suhu. Ini akan menjamin doh naik sekata dan mewujudkan gelembung udara yg diperlukan di dalam doh untuk membuat roti, pau dll. (doh menggunakan yis). Tuala lembab juga menghalang dari pembentukan “kulit” pada permukaan doh. Selain itu, boleh juga disapu rata majerin atau minyak pada permukaan doh bagi mengelakkan permukaan cepat kering dan merekah ketika proses pemerapan. 


Cara menguji sama ada yis masih elok atau mati: kaedah yeast starter
Yis kering jika disimpan lama akan mati dan tidak dapat mengembangkan doh. Begitu juga jika ia sudah dimasuki angin. Oleh itu, bagi menguji sama ada masih elok atau tidak, kita boleh lakukan ujian yeast starter. Ujian ini dapat mengelakkan kita kecewa akibat dari menghasilkan roti yang tidak akan naik atau mengembang.

(1) Hangatkan cecair yang dinyatakan dalam resepi. Contohnya, jika resepi menyatakan sukatan air yang diperlukan adalah 1/2C, gunakan 1/2C air tersebut. Anda tak perlu gunakan sukatan air lain (untuk mengelakkan penggunaan terlebih air). Hangatkan biar lebih hangat dari suhu badan tapi jangan sampai anda tidak boleh memasukkan jari anda dalam air; lebih kurang suhu antara 43C - 46C.

picture courtesy of Google

(2) Masukkan 1 sudu teh - 2 sudu teh gula ke dalam air. Gula selebihnya boleh dimasukkan ke dalam campuran tepung. Kacau hingga gula larut, barulah boleh dimasukkan yis.

picture courtesy of Google

(3) Masukkan yis mengikut sukatan yang dinyatakan dalam resepi. Kacau perlahan-lahan hingga yis larut. Biarkan sebentar.

picture courtesy of Google

(4) Dalam masa 5-10 minit anda akan lihat satu permukaan berbuih berwarna perang di permukaan atas air. Yis anda sudahpun mula membiak dan mengembang.

picture courtesy of Google

(5) Bolehlah anda gunakan campuran yis ini di dalam resepi anda. Pastikan jangan terlebih gaul campuran yis ini ke dalam adunan tepung kerana sel yis mudah rosak dan mati.

(6) Jika dalam masa 15 minit yis masih tiada perubahan (tidak terbentuk buih atau bubble), kemungkinan yis anda memang rosak atau sudah mati. Terpaksalah anda buang dan buat sekali lagi (atau guna peket yis lain).

Friday, June 17, 2011

Kuih Karipap



Bahan-bahan :-

500gm tepung gandum
125gm mentega
Air secukupnya

Bahan Inti Sardin :-

500gm kentang
1 tin sardin (boleh ganti dengan ayam atau daging)
1 paket rempah kari ikan
Sedikit air

Bahan Kisar :-

2 biji bawang besar
3 biji bawang merah
2 biji bawang putih
3 tangkai cili kering
Sedikit ikan bilis
Gula dan garan secukupnya


Cara Membuat :-

- Uli tepung gandum dengan air dan mentega sehingga menjadi doh yang lembut
- Bulat-bulatkan doh. Kemudian leperkan dan isi inti ke dalamnya.
- Kelim dengan kemas atau gunakan acuan karipap. Goreng sehingga kekuningan.
- Untuk intinya, tumis bahan kisar sehingga naik bau. Masukkan rempah kari, sardin dan kentang. Masukkan air dan gaul rata.
- Masukkan garam dan gula secukupnya. Angkat apabila kentang sudah empuk.

Kuih Pau




yani@myresipi.com
resepi ni utk sape yg takde tepung khas buat pau


Bahan-bahan ( 8 biji )
  • 300g tepung gandum
  • 6g baking powder
  • 2g garam
  • 162g air suam
  • 6g dry yeast
  • 30g gula halus
  • 18g lemak sayur
Cara-cara
  1. Masukkan tepung, baking powder dan juga garam. kacau biar serata.
  2. Campurkan air, dry yeast dan gula dalam bekas lain. kacau biar gula larut.
  3. Masukkan no.2 ke dalam no.1. Uli sehingga hampir licin.
  4. Masukkan pula lemak sayur. Uli sehingga licin. Buat bentu bulat.
  5. Penaikkan sehingga 2 kali ganda atau 40C selama 30 minit bagi sesiapa di negara sejuk.
  6. Utk uji naik ke tidak..Taburkan sedikit tepung di atas doh. Tekan dengan jari. Kalau tinggal lubang, maknanya doh dah naik.
  7. Tekan-tekan untuk keluarkan angin. Bahagikan kepada 8 bahagian. Buat bentuk bulat. Rehatkan selama 10 minit
  8. Ambik sebiji doh, canaikan dan letaklah inti ditengahnya. Tutup rapat-rapat.
  9. Bila dah siap isi inti, biarkan dalam 5 minit. Bila dah nampak naik sikit, bolehlah kukus.
  10. Kukus dengan api kuat selama 15~20 minit.. Masa tengah kukus jangan buka penutup kukusan




    Friday, June 3, 2011

    Kerang Masak Tomyam


    Bahan-bahan :-
    400gm kerang
    1 batang serai
    1 biji tomato - belah empat
    2 sudu besar pes tomyam
    3 helai daun limau purut
    1 labu bawang besar dihiris
    2 ulas bawang putih dihiris
    Air secukupnya

    Cara Menyediakannya :-
    - Didihkan air sehingga mendidih
    - Masukkan bawang besar, bawang putih dan serai
    - Kemudian masukkan pes tomyam
    - Apabila sudah mendidih, masukkan kerang
    - Reneh sehingga kesemua bahan sebati. Akhir sekali, masukkan tomato

    SELAMAT MENCUBA.

    Wednesday, June 1, 2011

    Soto Ayam


    Bahan-bahan A:-
    Soohoon digoreng
    Ayam (dagingnya sahaja), dicarik2 halus
    Nasi impit
    Kacang tanah goreng
    Daun sup dan daun bawang dimayang
    Stok Ayam (tulang ayam yang direbus)
    Garam secukup rasa
    Bawang merah dimayang dan digoreng (beli bawang goreng siap)
    Bergedil 

    Bahan untuk kuah B:-
    1 sudu kecik jintan manis
    1/2 sudu kecil ketumbar
    lada putih
    kayu manis
    bunga lawang
    bunga cengkih
    buah pelaga
    bawang putih dan bawang merah 
    minyak untuk ditumis

    Bahan untuk sambal C:-
    Cili api dan bawang ditumbuk
    Kicap Pekat dan sedikit gula

    Cara buat :-
    - Jintan, ketumbar, lada putih, bawang putih dan merah ditumbuk halus/blend kering
    - Panaskan minyak dan tumis bahan2 B termasuk yang telah diblend tu sampai naik bau, pastu masukkan stok ayam dan garam. Kalau nak ada warna kuah tu bubuh la serbuk kunyit sedikit. nampak cantik sikit. Dah mendidih tabur sikit daun sup dan bawang juga bawang goreng. Kuah dah siap la nih..
    - Masa nak hidang tu, ambik mangkuk, bubuh nasi impit yang dipotong dadu, atasnya bubuh soohoon goreng, daging ayam yang dicarik, kacang tanah yang digoreng, curah kuah yang masih panas. hiaskan dengan baki daun sup dan daun bawang juga bawang goreng. 
    - Kalau suka pedas, bubuhlah bahan C. 
    - Kalau rajin buat bergedil, boleh buat guna resipi ni

    Bergedil Daging :-
    250gm daging (daging batang pinang seeloknya), cincang halus
    500gm kentang
    2 biji telur
    1 sudu lada sulah
    1 biji telur dipukul
    minyak untuk menggoreng
    5 biji bawang merah ditumbuk lumat
    3 biji bawang putih ditumbuk lumat

    Bahan-bahan dihiris
    5 biji bawang merah
    3 tangkai daun sup
    2 tangkai daun bawang

    Cara buat :-
    - Kentang direbus hingga empuk, buangkan kulitnya dan dilenyek hingga lumat
    - Daging digoreng terlebih dulu dengan bawang merah dan bawang putih yang telah ditumbuk lumat. Goreng hingga masak kekuningan
    - Gaulkan dengan bawang yang telah dihiris, kentang dan daging hingga sebati bersama 2 biji telur juga lada sulah. Akhir sekali masukkan daun sup dan daun bawang yang telah dihiris. Ambil sedikit adunan, bulat dan leperkan
    - Celup dalam telur yang dipukul dan goreng dalam minyak penuh sehingga masak dengan api yang sederhana




    Followers